Friday, July 21, 2006

Motivasi

Waktu Makan Sekeluarga

Pakar motivasi bebas Ustaz Sobri Abd. Rani menyarankan agar ibu bapa menjadikan waktu makan sekeluarga sebagai waktu untuk membetulkan kehidupan atau membina peribadi anak-anak. Kerana waktu makan adalah program bersahaja yang besar impaknya dalam hidup.

Antara didikan yang boleh diterapkan kepada anak-anak pada waktu makan:

1. Tunggu orang yang paling tua:-

"Kalau ada ayah, suapan pertama hendaklah dimulakan oleh ayah. Kalau tidak ada ayah, emak dulu. Rahsia di sebaliknya, bila dikekalkan begitu selama tiga bulan, akan tumbuh di hati anak rasa hormat kepada yang lebih tua walaupun di luar pandangan kita. Jadi kalau kita hendak tahu macam mana anak kita di luar pandangan kita, tengok waktu makan."

2. Baca bismillah dan guna tangan kanan:-

"Anak kita tidak akan sanggup untuk memasukkan makanan ke mulut atau memegang sesuatu yang bukan haknya. Yang biasa dia ambil masuk ke mulut dengan nama Allah dan biasa memegang yang halal dengan tangan kanan. Melalui amalan yang mudah ini, roh kita dimonitor oleh syariat. Amalan ini tak perlu pada tenaga dan wang ringgit yang banyak tapi perlu pada kesabaran dan istiqamah."

3. Ambil lauk terdekat dulu:-

"Bagi cubitan lauk yang pertama, ambil yang paling dekat. Kenapa? Melatih sabar. Kali kedua jika hendak ambil yang jauh tak mengapa, itu dikira usaha ikhtiar untuk dapat yang lebih baik. Ia mempengaruhi corak kehidupan dan corak kita bekerja. "Kalau ayah atau ibu hendak membina sifat penyayang, ambil lauk yang pertama letak di pinggan anak. Memang anak akan rasa lain. Kalau dia tak mahu lauk itu tak mengapa tapi kita memberi tu yang mustahak. Kalau kita buat macam itu, dia juga akan jadi macam itu pada orang lain. Kita sudah bina masyarakat penyayang di dalam rumah kita. Malah untuk latih anak cinta pada saudaranya yang lain, itulah waktunya."

4. Kawal suapan:-

"Bila ambil makanan untuk suap ke mulut, jangan diangkat suapan seterusnya selagi di dalam mulut itu belum ditelan. Sesudah ditelan, baru angkat suapan seterusnya masuk ke mulut. Untuk apa? Melatih jangan tamak dan bersifat qanaah ? mencukupi apa yang ada. Atau lebih tepat, melatih syukurterhadap apa yang Allah kurniakan." Ustaz Sobri berkata, "Perkara ini kalau dilatih betul-betul, ia akan menumbuhkan sifat-sifat mulia di dalam diri. Sebab makan adalah perkara yang kita benar-benar buat dengan hati, sebab itu ia mempengaruhi roh.

* Telah dihantar masuk ke dalam email oleh seseorang. Suatu rencana yang sesuai untuk dikongsi bersama. Tiada maklumat lanjut mengenai "Pakar motivasi bebas Ustaz Sobri Abd. Rani" melalui carian ringkas.